ad

Dasar Speed Selangor terangkum aspek perkhidmatan kepada rakyat

14 Ogos 2025, 11:27 AM
Dasar Speed Selangor terangkum aspek perkhidmatan kepada rakyat

PETALING JAYA, 14 OGOS: Dasar Speed Selangor yang dijangka dilancar Oktober ini tidak hanya menumpukan aspek pemudah cara perniagaan, tetapi akan diperluas kepada perkhidmatan yang berkaitan secara langsung dengan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buat permulaan, tumpuan terarah kepada mempercepat kelulusan urusan perniagaan serta pelaburan sebelum diperluas secara berperingkat kepada perkhidmatan lain.

“Untuk Speed Selangor, kita janganlah menumpu hanya kepada pemudah cara perniagaan, tahun 2026 kita akan juga menumpu beberapa perkara yang ada kaitan dengan rakyat secara langsung atau kepada perkhidmatan rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Perkhidmatan Multiawan Selangor (SMC) di sini, hari ini.

Menurutnya, pengurusan data yang pantas, cekap dan tepat bagi memastikan tiada jurang antara jabatan atau agensi menerusi SMC juga akan menjadi pelengkap kepada pelaksanaan Dasar Speed Selangor.

“Antaranya aduan awam berkaitan pungutan sisa pepejal, pengubahsuaian rumah atau jalan berlubang. Kita memang sudah ada, tapi sebelum ini ia terpencar (tidak terkumpul) kerana ada jalan yang diuruskan oleh PBT, ada jalan yang harus diuruskan oleh Kerajaan Negeri, ada jalan pula yang diuruskan oleh pihak Persekutuan, tidak bertuan.

“Jadi kalau ini diuruskan secara data dengan komprehensif, tidak kira siapa pun yang bertanggungjawab, ia akan tetap sampai kepada penerima tanggungjawab tersebut dengan syarat ada kesediaan untuk berhubung.

“Ini antara perkara kita akan cuba teroka pastikan Dasar Speed Selangor bukan sahaja berkaitan keberadaan perniagaan tapi akan dikembangkan kepada perkara yang memberikan hubungan langsung kepada rakyat,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin memperkenalkan Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan kebenaran merancang kawasan industri dari 3.5 bulan kepada 14 hari.

Menurutnya, dasar berkenaan sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri sebagai pemudah cara perniagaan selain memberi tumpuan kepada industri baharu bertapak di Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.