ad

Malaysia raih pelaburan RM3.29 bilion sektor AI, cipta hampir 7,000 pekerjaan

11 Ogos 2025, 3:34 AM
Malaysia raih pelaburan RM3.29 bilion sektor AI, cipta hampir 7,000 pekerjaan

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Malaysia berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM3.29 bilion bagi sektor kecerdasan buatan (AI) di bawah inisiatif Malaysia Digital bagi tempoh Januari hingga Jun lalu yang berpotensi mewujudkan kira-kira 6,920 peluang pekerjaan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pencapaian itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi Malaysia sebagai hab AI serantau, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam ekosistem digital global.

Sumbangan AI dan teknologi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 adalah 23.5 peratus dan kerajaan menyasarkan peningkatannya kepada 25.5 peratus menjelang akhir 2025.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berucap dalam majlis 'AI at Work 2.0' di ibu pejabat Google Malaysia, Menara Axiata, Kuala Lumpur pada 5 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Saya yakin sasaran ini boleh dicapai berdasarkan perkembangan positif dalam pelaburan, pembangunan bakat serta pelaksanaan pelbagai kes penggunaan AI merentasi sektor,” katanya di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai kemajuan dicapai oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) setakat ini serta sumbangan terhadap pembangunan AI.

Menjelaskan selanjutnya, Gobind berkata pencapaian ini juga selaras dengan usaha kerajaan membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 yang berteraskan data, bakat dan infrastruktur bagi memastikan manfaat teknologi dapat dimaksimumkan untuk ekonomi dan rakyat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.