SHAH ALAM, 9 OGOS: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menzahirkan rasa dukacita terhadap serangan ke atas ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di Khan Younis, Gaza pada Ahad lalu.
Setiausaha Agungnya, Dato’ Danial Iskandar Abdul Rahman berkata insiden yang mengorbankan seorang petugas PRCS, Omar Isleem, dan mencederakan dua individu lain termasuk seorang orang awam itu adalah tindakan yang amat membimbangkan serta tidak boleh diterima.
Menurutnya, premis yang jelas memaparkan lambang Bulan Sabit Merah yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa telah berulang kali menjadi sasaran serangan.
“Tingkat dua dan aras bawah bangunan turut terjejas ketika pasukan PRCS menjalankan pemindahan dan memadam kebakaran. Jumlah keseluruhan petugas dan sukarelawan PRCS yang terkorban sejak konflik bermula kini meningkat kepada 51 orang.
“Kita amat dukacita dan menganggap serangan ini tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BSMM turut merakamkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta petugas kemanusiaan yang terus mempertaruhkan nyawa demi menyampaikan bantuan dan rawatan.
Pada Ahad lalu, serangan udara Israel menyasarkan ibu pejabat PRCS di Khan Younis, mengorbankan seorang petugas dan mencederakan tiga yang lain. Serangan mengenai tingkat pertama bangunan itu menyebabkan kebakaran dan kerosakan besar pada premis tersebut.