SHAH ALAM, 8 OGOS: Dahulu, kawasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Taman Hutan Selangor (FPS) di Kepong, hanyalah bekas tanah lombong yang gersang dan terbiar. Namun di situlah bermulanya sebuah kisah pemulihan.
Sedikit demi sedikit pokok ditanam, menjadikan kawasan itu antara projek pemulihan hutan terawal dan paling berjaya di rantau ini.
Kini, FRIM FPS berdiri megah sebagai hutan buatan manusia pertama di dunia. Lebih membanggakan ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 11 Julai.
Pengiktirafan ini tidak datang bergolek. Ketua Pengarah FRIM menegaskan kejayaan ini hasil sumbangan besar Kerajaan Negeri Selangor yang menjadi 'benteng' sebenar dalam melindungi kawasan tersebut.

“Mereka bukan sekadar salur dana tapi berusaha membuat jalinan libat urus sejak 2017. Inilah erti sebenar kerjasama,” kata Datuk Dr Ismail Parlan kepada Media Selangor.
Beliau turut menjelaskan tindakan Kerajaan Negeri Selangor meluluskan zon penampan seluas 1,066 hektar di sekeliling FRIM FPS menjadi titik perubahan penting dalam usaha meyakinkan dunia.
“Zon penampan penting untuk melindungi FRIM FPS daripada sebarang ancaman luar. Tanpa kawasan pelindung, ekosistem boleh rosak. Unesco mahu jaminan dan Selangor beri komitmen itu.
Dr Ismail mendedahkan, isu tersebut menjadi topik utama dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih UNESCO di Paris. Bagi Unesco, ini bukan perkara kecil.

Wakil dari 21 negara mahukan jaminan bahawa Malaysia benar-benar komited menjaga kawasan sekitar FRIM FPS, bukan sekadar mengemukakan pencalonan di atas kertas.
“Tanpa zon ini, pencalonan kita mungkin tidak ke mana. Tapi Selangor bertindak pantas dan berani. Kita berjaya yakinkan dunia bahawa kita benar-benar komited,” katanya.
Zon penampan yang diluluskan bukan sekadar kawasan pemisah biasa tetapi elemen penting dalam perlindungan alam sekitar. Ia ibarat perisai dan bukti bahawa Malaysia serius mahu menjaga khazanah ini untuk generasi akan datang.
Bukan Sekadar Hutan
Dengan status baharu sebagai Tapak Warisan Dunia, FRIM FPS kini setaraf Taman Kinabalu dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah. Namun keistimewaannya, ia bukan sekadar hutan tetapi simbol harapan bahawa alam yang rosak masih boleh dipulihkan.
Setiap inci tanah di FRIM FPS menceritakan kisah pemulihan, penyelidikan dan perlindungan biodiversiti. Ada Jejambat Rimba, laluan kanopi membelah kehijauan dan pokok-pokok nadir yang hampir pupus.

Dengan lebih 500,000 pengunjung setiap tahun, FRIM FPS bukan sekadar lokasi pelancongan. Ia destinasi untuk merasai sendiri keajaiban hutan yang lahir semula dari tanah yang pernah mati.
Bagi Dr Ismail yang berkhidmat selama 30 tahun di FRIM, pengiktirafan Unesco membuka lembaran baharu. Beliau yakin, hutan hujan tropika itu bakal menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami akan pertingkatkan fasiliti, tambah pemandu arah dan pastikan pengalaman pelawat lebih berkualiti. Kami tak pentingkan kuantiti (pengunjung) tapi utamakan pengalaman bermakna,” katanya.
Selain Taman Kinabalu (2000) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024), Malaysia secara keseluruhan berjaya menyenaraikan empat lagi Tapak Warisan Dunia Unesco iaitu Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).
Hingga kini, sejumlah 1,223 tapak di seluruh dunia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.
