ad

Malaysia tuan rumah sambutan Hari Asean ke-58 di Cyberjaya

8 Ogos 2025, 12:29 AM
Malaysia tuan rumah sambutan Hari Asean ke-58 di Cyberjaya
Malaysia tuan rumah sambutan Hari Asean ke-58 di Cyberjaya

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Malaysia menjadi tuan rumah sambutan Hari Asean sempena ulang tahun ke-58 penubuhan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) hari ini.

Kementerian Luar memaklumkan sambutan bertemakan "Ke Arah Masa Depan Asean yang Inklusif dan Mampan" itu selari dengan tema Kepengerusian Asean-Malaysia iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Acara berlangsung di Cyber Event Hall, Cyberjaya dan dijangka menghimpunkan lebih 700 tetamu dari seluruh komuniti Asean.

“Sambutan tahun ini memberi peluang tepat pada masanya untuk menonjolkan kemajuan dan perpaduan Asean, di samping menyerlahkan kepimpinan Malaysia dalam memacu agenda serantau yang berteraskan rakyat dan berpandangan jauh,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan berkenaan, manakala Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir.

Sambutan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (Permata Seni), termasuk tarian rakyat tradisional dan persembahan koir yang mencerminkan kepelbagaian budaya serantau.

Negara anggota Asean juga akan mempamerkan seni tradisional, kraf tangan dan barangan masing-masing melalui reruai pameran kebangsaan.

Kementerian berkata sambutan itu melambangkan komitmen bersama Asean terhadap kerjasama serantau, perpaduan dan keamanan, serta menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi Asean untuk mendekatkan Asean kepada rakyat dan memimpin rantau ini ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.