KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Siasatan lanjut berhubung dakwaan salah laku dalam program motivasi rumah tangga eHATI masih diteruskan, melibatkan beberapa agensi berkaitan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan, namun terdapat beberapa perkara yang masih dalam tindakan, lapor Berita Harian.
“Setakat ini, beberapa perkara masih dalam tindakan agensi lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk dakwaan wujudnya ritual yang bertentangan dengan syarak dalam program berkenaan.
Lima individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pengasas program berusia antara 26 hingga 57 tahun telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Polis juga mengesahkan terdapat aktiviti berbogel yang berlaku dalam sesi tertutup khas dikenali sebagai Queens Night yang menjadi sebahagian daripada pengisian program tersebut.
Selain itu, seramai 50 peserta dikenal pasti melalui senarai nama yang diperoleh dan mereka diminta tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.