ad

Selangor cadang Skim Sumbangan Asas Rahmah diperluas termasuk barangan basah

4 Ogos 2025, 9:30 AM
Selangor cadang Skim Sumbangan Asas Rahmah diperluas termasuk barangan basah

KLANG, 4 OGOS: Kerajaan Negeri mencadangkan Skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas skop pelaksanaannya dengan menambah lebih banyak barangan keperluan, termasuk bahan mentah basah, supaya bantuan disalurkan benar-benar menepati keperluan rakyat.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berkata, skim berkenaan ketika ini dilihat mempunyai kekangan jenis produk yang dibenarkan, termasuk ketiadaan akses kepada barangan basah seperti sayur-sayuran dan ikan.

“Saya telah suarakan di peringkat persekutuan agar skop SARA ini diperluas sedikit supaya dapat merangkumi lebih banyak barangan. Kadang-kadang barangan basah pun tak boleh dibeli, walhal itu antara keperluan utama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai SARA di Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan kesediaan negeri membantu pelaksanaan skim berkenaan sekiranya diperluaskan.

“Kita di Selangor tiada masalah. Kita bersedia dan sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat. Kita pantau pasaran dan akan bertindak secepat mungkin jika ada halangan dalam pelaksanaan supaya dapat dibetulkan,” ujarnya.

Tambah beliau, permintaan untuk meluaskan skop dan lokasi penggunaan SARA juga telah disuarakan banyak pihak, bagi membolehkan penerima menggunakan sepenuhnya bantuan RM100 untuk barangan yang benar-benar diperlukan.

“Saya merayu kepada kerajaan persekutuan dan perdana menteri agar mempertimbangkan perluasan skop SARA, sekurang-kurangnya bagi membolehkan pembelian makanan basah seperti sayur dan ikan. Saya yakin langkah ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Projek Selangor Maritime Gateway Interceptor 002 di Taman Awam Pengakalan Batu di sini, hari ini.

Tengku Permaisuri Selangor Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) bersama EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim (dua kiri) bergambar ketika majlis perasmian kerjasama antara Kumpulan Affin, MUFG Bank (Malaysia) Berhad dan Landasan Lumayan Sdn Bhd bagi Projek Selangor Maritime Gateway di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada 4 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, perkara itu sudah dibangkitkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu untuk pertimbangan lanjut di peringkat kementerian.

"Jika terdapat sebarang halangan dalam proses pelaksanaan, kita akan segera perbetulkan, itulah pendekatan Kerajaan Negeri," ujarnya.

23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas turut menerima bantuan SARA RM100 sekali beri.

Bantuan tunai itu boleh dibelanjakan ke atas lebih 90,000 barangan keperluan asas dalam 14 kategori seperti makanan asas, ubat-ubatan, kebersihan rumah, keperluan sekolah dan penjagaan diri.

Antara premis yang berdaftar sebagai rakan niaga SARA adalah Giant, Mydin, Bataras, C-Mart dan TF Value-Mart.

Bantuan kewangan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini bagi membeli barangan asas ditetapkan di 4,100 kedai di seluruh negara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.