Oleh Sofia Nasir
SUBANG JAYA, 2 OGOS: Seramai 206 pembeli projek Rumah Selangorku Residensi Jaya menerima semula bayaran prinsipal berjumlah RM4.2 juta selepas projek kediaman tersebut dibatalkan oleh pemaju.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata projek berkenaan tidak dapat diteruskan susulan kegagalan pihak pemaju dan diisytihar terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2022.

“Hari ini adalah hari yang bersejarah dan satu kejayaan besar kepada Kerajaan Negeri kerana kita dapat pulangkan semula deposit mereka antara RM2,100 hingga RM25,500.
“Kita telah berusaha tidak sampai setahun. Hari ini secara rasminya kita pulangkan semula deposit mereka dan rata-rata mereka juga sudah beli kediaman lain.
"Kami juga sudi bantu mereka yang belum beli rumah lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan bayaran semula di sebuah hotel di Seri Kembangan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Mohd Hafiz Hassan dan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki.
Projek Residensi Jaya di Cheras menerima Kelulusan Merancang pada 2016 dan menawarkan sebanyak 388 unit pangsapuri dengan harga jualan antara RM200,000 hingga RM250,000 seunit.
Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Helmi Hamid, 43, melahirkan rasa syukur kerana memperoleh semula bayaran sebanyak RM25,500 yang telah dibayar kepada pemaju pada 2018.

“Pada hari ini, hari yang bermakna untuk kami kerana dapat terima semula deposit yang telah kami serahkan kepada pemaju sebelum ini.
“Kami bersyukur kerana pemimpin Kerajaan Negeri sudi membantu kami. Ini umpama hujan emas kepada kami yang telah tunggu selama enam tahun,” kata kakitangan awam itu.