ad
AGENSI

Sidec bantu PKS sesuaikan operasi dengan gaya hidup digital

30 Jul 2025, 7:58 AM
Sidec bantu PKS sesuaikan operasi dengan gaya hidup digital

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Retail-X anjuran Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) terus membuktikan keupayaan dalam memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Jabatan Pemula Niaga dan Pendigitalannya berkata program itu direka khas untuk membantu jenama tempatan seperti makanan, kecantikan, fesyen, kesihatan, gaya hidup dan e-dagang dapat melaksanakan inovasi bersesuaian kehendak pasaran masa kini.

"Sekarang ini, kena ada dua-dua. Kita panggil sebagai ‘omnichannel’, perlu ada jualan dalam talian dan fizikal.

"Ia agar PKS mampu menyesuaikan operasi mereka dengan gaya hidup digital pengguna moden,” kata Salman Ahmad dalam temu bual menerusi YouTube Agenda Awani.

Menurut beliau, sepanjang program, syarikat akan dibimbing daripada aspek pengurusan produk, strategi pemasaran, penjenamaan dan penggunaan data pengguna asas secara efektif.

Tambah beliau, PKS juga didorong untuk membina strategi yang lebih mampan dengan mengambil kira tingkah laku pengguna, trend pasaran dan penggunaan teknologi yang mesra pengguna.

"Retail-X telah membuktikan kejayaan apabila salah satu syarikat peserta berjaya meningkatkan hasil jualan tahunan daripada RM300,000 kepada RM15 juta dalam tempoh dua tahun.

“Bila dia sertai, ketika itu laporan dan penyata kewangan tahunan dalam RM300,000. Selepas dua tahun, sekarang ini sudah mencecah RM15 juta,” katanya.

Menurut Salman lagi, Retail X bukan sekadar melatih tetapi memacu perubahan dalam ekosistem digital dengan membantu syarikat membuat keputusan berdasarkan data dan memperkukuh kehadiran jenama dalam pasaran.

“Dengan Retail-X, kita mahu bantu PKS bukan hanya untuk bertahan, tapi juga berkembang dalam ekosistem runcit digital yang kompetitif,” tambahnya.

Jun lalu, Sidec melancarkan Retail-X 2025, edisi terbaharu program pemecut utama negeri yang menawarkan ganjaran dan sokongan bernilai sehingga RM300,000 kepada syarikat PKS runcit B2C yang berpotensi tinggi di Malaysia.

Permohonan dibuka sehingga 27 Jun lalu, dan program selama 12 minggu ini disasarkan kepada 30 syarikat dalam lima sektor utama: Fesyen & Gaya Hidup, Kesihatan, Kecantikan & Kesejahteraan, Makanan & Minuman, Kediaman & Peralatan Rumah, serta Jenama Sosial & Impak Komuniti.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.