ad
BUDAYA

Gema Nurani

26 Jul 2025, 12:30 AM
Gema Nurani

Kabul tidak rabak asbab peluru. Kota itu terbakar akibat pekaknya dunia. Setiap bisikan bayu membawa debu melayang menyentuh tubuh-tubuh kecil kian sujud, rebah dan bersatu sama bumi. Kanak-kanak di Kabul tidak tumbuh sama gelak tawa. Mereka dewasa dalam cara-cara untuk berlari tatkala suara dari langit tiba-tiba bertempik membawa petaka. Tiada taman permainan selain puing-puing sengsara. Tiada buku sempat dibuka sebelum serpihan besi menghujani bilik darjah mereka. Sesunyi-sunyi malam, ada seorang anak lelaki dipakaikan sesuatu nan aneh. Bukan hari bahagia untuk si kecil itu. Sadisnya malamnya dijual kepada lelaki berumur sebaya datuk atau bapa dia sendiri. Jijik. Ya, benar. Terlalu jijik. Anak lelaki itu menari secara tidak rela. Apakan daya, hidupnya telah dibeli. Tubuhnya adalah pentas. Tidak lain tidak bukan, Bacha Bazi. Suatu pentas paling jijik yang dibiarkan berdiri atas nama budaya. Puluhan wanita di Dashte Barchi berpisah nyawa kerana dilahirkan sebagai Hazara. Mengapa semua itu berlaku wahai Tuhan? Aku tertanya, apakah sifat kemanusiaan masih bersisa dalam kalbu kami. Bumi ini sudah terlalu banyak daki-daki noda dinormalisasi. Kabul telah menjadi monumen kepada kegagalan manusia. Apakah erti gagal kumaksudkan itu? Gagal membela nasib anak kecil. Gagal menjaga hak wanita. Gagal menyemai sifat manusiawi. Setiap kebobrokan kita adalah bukti bahawa manusia ini lebih takut akan insan sarat bersenjata berbanding Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa. Dan akhirnya aku sedar. Segala rintihan aku ini bukan sekadar puisi yang dicuba untuk dihantarkan ke media massa. Hakikatnya gema nurani tercipta selepas mengulit naskhah The Kite Runner. Tulisan Khaled Hosseini itu membuka mata ketigaku kepada erti sebenar menjadi manusia. Akhir kata aku pohon agar Tuhan kabulkan doaku (tulisan puisi) ini. Semoga Kabul, Gaza, Rafah, Khartoum, Aleppo, Sanaa, Urumqi, Baghdad, Donetsk dan setiap tanah luka disebabkan peluru berpandu kembali bernafas dalam kedamaian. Bercambah dalam kasih. Berdiri bertongkat martabat. Insya-Allah!

Mudin Haiqal

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.