ad
AGENDA

Legenda gusti Hulk Hogan meninggal dunia disebabkan serangan jantung

25 Jul 2025, 7:38 AM
Legenda gusti Hulk Hogan meninggal dunia disebabkan serangan jantung

ISTANBUL, 25 JULAI: Legenda gusti profesional Hulk Hogan atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea, meninggal dunia pada usia 71 tahun di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam lapor Anadolu Ajansi.

Jabatan Polis Clearwater memaklumkan pegawai polis dan anggota bomba bertindak balas terhadap panggilan kecemasan perubatan melibatkan Hogan pada waktu pagi. Beliau disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan.

Tiada punca rasmi mengenai kematiannya diumumkan setakat ini; namun, portal hiburan Amerika TMZ melaporkan ia disebabkan serangan jantung.

World Wrestling Entertainment (WWE) menerusi hantaran di platform X turut merakamkan ucapan takziah. "WWE berdukacita menerima berita pemergian WWE Hall of Famer Hulk Hogan. Seorang daripada tokoh budaya pop paling dikenali, Hogan membantu WWE mencapai pengiktirafan global pada era 1980-an," menurut kenyataan itu.

Presiden AS Donald Trump turut memberi penghormatan kepada Hogan, yang disifatkannya sebagai “sahabat baik” dan mengambil maklum sokongan politik Hogan. “Hulk Hogan merupakan penyokong kuat MAGA - gagah, tabah, bijak, namun berjiwa besar,” tulis Trump di Truth Social.

Hogan menjadi antara ikon budaya pop paling terkenal dan membantu WWE mencapai pengaruh global pada 1980-an melalui fenomena "Hulkamania". Beliau meraih enam kejuaraan WWE termasuk rekod mempertahankan gelaran selama 1,474 hari - antara yang terpanjang dalam sejarah syarikat itu.

Selain dunia gusti, Hogan turut muncul dalam filem termasuk "Rocky III" dan "No Holds Barred".

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.