SHAH ALAM, 25 JULAI: Usaha memperluas pendidikan falak di Selangor akan diperkasa ke arah melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga membudayakan celik falak, waktu, ibadah dan jati diri.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ilmu falak bukan hanya bersifat teknikal atau akademik, tetapi menghubungkan manusia dengan nilai ketepatan, ketertiban dan keinsafan iaitu nilai utama dalam membina sebuah tamadun yang madani.
“Dalam ucapan, saya tekankan tiga nilai utama yang dibawa oleh ilmu falak: ketepatan waktu, ketertiban, disiplin dan keinsafan.
“Insya-Allah, di Selangor, usaha memperluas pendidikan falak akan diperkasa di seluruh negeri, dari masjid ke sekolah, pusat komuniti ke universiti supaya ilmu ini menjadi budaya yang hidup dalam masyarakat kita.
“Dengan usaha berterusan ini, kita akan melahirkan generasi yang celik falak, waktu, ibadah dan jati diri. Bukan hanya celik teknologi, tetapi juga berjiwa falaki,” katanya di Facebook.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penutup Bulan Falak Selangor 2025 yang mengangkat tema ‘Menjulang Falak, Menyubur Ketamadunan Madani’ di Masjid Negeri hari ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor serta semua pihak yang telah menjayakan sambutan Bulan Falak Selangor tahun ini. Semoga segala usaha ini menjadi amal jariah berterusan,” katanya.


