AGENDA

Program eHATI: Jais tahan enam individu, 320 saksi dikenal pasti

24 Jul 2025, 2:31 PM
Program eHATI: Jais tahan enam individu, 320 saksi dikenal pasti

SHAH ALAM, 24 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan enam individu bagi membantu siasatan program motivasi rumah tangga eHATI yang dipercayai bercanggah dengan hukum syarak.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad kesemua mereka terdiri dua lelaki dan empat wanita berumur antara 26 hingga 47 tahun itu ditahan di daerah ini pada 18 Julai lalu.

"Mereka telah ditahan dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam penganjuran program motivasi rumah tangga eHATI yang diadakan pada 27 hingga 30 September 2024 di IDCC, Shah Alam.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina) dan Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak," katanya menerusi kenyataan.

Mohd Shahzihan berkata setakat ini Jais sudah dan sedang merakam percakapan 38 orang saksi bagi membantu siasatan.

"Jais juga mengenal pasti seramai kita-kira 282 orang peserta yang menyertai program tersebut untuk diambil rakaman percakapan.

"Sebanyak tiga buah buku dan tiga keping cakera video digital (VCD) yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan ulasan dan pandangan hukum syarak.

"Siasatan menyeluruh juga dilakukan merangkumi keseluruhan modul atau program yang ditawarkan oleh pihak penganjur," katanya.

Beliau berkata  kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan lanjut.