AGENDA

Tiga pelajar maut: Mara tidak terlibat anjur konvoi motosikal

24 Jul 2025, 12:26 PM
Tiga pelajar maut: Mara tidak terlibat anjur konvoi motosikal

SHAH ALAM, 24 JULAI: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak terbabit dalam penganjuran konvoi membabitkan 15 penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi dan German-Malaysian Institute (GMI) Kajang yang terbabit nahas di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Mara dalam kenyataan berkata, sebaliknya penganjuran itu dianjurkan hasil perbincangan antara pelajar melalui kumpulan WhatsApp.

“Berdasarkan siasatan awal, perancangan aktiviti konvoi tersebut adalah merupakan inisiatif bersifat tidak rasmi yang dianjurkan secara santai oleh pelajar-pelajar sendiri melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp tanpa sebarang penglibatan rasmi daripada pihak institusi atau Mara,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, seramai 15 pelajar KPTM Bangi dan seorang dari GMI Kajang terlibat. Insiden tersebut telah meragut nyawa tiga pelajar KPTM, manakala sembilan lagi mengalami kecederaan.

“Tiga pelajar lain tidak mengalami sebarang kecederaan. Dalam kejadian yang sama, seorang pelajar dari GMI dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.

“Proses bedah siasat bagi ketiga-tiga jenazah pelajar KPTM telah diselesaikan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Jenazah Haris Azib Sulaiman telah dibawa ke Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang untuk urusan pengebumian.

“Jenazah Afkar Fitri Affendi pula dihantar ke Masjid Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka, manakala Aliff Syahmi Abdul Hakim telah dibawa pulang ke kediaman keluarga di Gombak, Selangor,” katanya.

Sebagai langkah segera, Mara menerusi pengurusan KPTM telah menyalurkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,500 kepada waris setiap penuntut yang terkorban.

“Tuntutan takaful kemalangan dan kematian berjumlah sehingga RM38,000 bagi setiap penuntut juga sedang diuruskan tertakluk kepada syarat pihak penyedia takaful,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila 15 motosikal yang ditunggang secara berkumpulan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Utara-Selatan berada di lorong tengah dan kanan, sebelum tiga motosikal di hadapan terjatuh selepas dipercayai bergesel dan berlanggar sesama sendiri.