ad
AGENDA

Bantuan RM100: Pendekatan seimbang tingkat kesejahteraan rakyat

24 Jul 2025, 8:05 AM
Bantuan RM100: Pendekatan seimbang tingkat kesejahteraan rakyat

OLEH YASMIN RAMLAN

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pendekatan seimbang yang menggabungkan bantuan bersasar dan bantuan menyeluruh merupakan kaedah paling berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia, kata EXCO Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan Selangor, Anfaal Saari.

Beliau berkata demikian susulan kritikan terhadap Kerajaan Persekutuan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bantuan tunai RM100 kepada semua warganegara dewasa semalam.

Menyambut baik inisiatif tersebut, Anfaal mengakui terdapat kebimbangan berhubung bentuk bantuan yang tidak bersasar. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kedua-dua pendekatan itu saling melengkapi.

“Bantuan bersasar memastikan sokongan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, seperti isi rumah berpendapatan rendah, ibu tunggal atau pekerja sektor tidak formal yang berdepan cabaran tertentu.

“Namun, tiada sistem yang sempurna. Ada juga individu yang mungkin tercicir disebabkan data yang tidak dikemas kini, kehilangan pendapatan secara mendadak atau keadaan hidup yang tidak tetap.

“Di sinilah bantuan menyeluruh memainkan peranan penting,” katanya kepada Media Selangor.

Perdana menteri semalam mengumumkan bantuan tunai RM100 akan dikreditkan ke dalam MyKad rakyat berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos dan boleh digunakan di lebih 4,100 premis di seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan penurunan harga petrol RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter. Mekanisme pelaksanaannya, yang tidak melibatkan warga asing dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta rakyat dan akan dimuktamadkan sebelum akhir September.

Antara pengumuman lain termasuk pembekuan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara, cuti umum tambahan pada 15 September sempena sambutan Hari Malaysia, serta peningkatan peruntukan Jualan Rahmah Madani daripada RM300 juta kepada RM600 juta bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata bantuan tunai RM100 berfungsi sebagai jaring keselamatan agar tiada yang tercicir akibat kelemahan dalam proses kelayakan.

“Ia juga mewujudkan rasa keadilan dan kebersamaan, terutamanya dalam waktu sukar yang sedang dihadapi negara, apabila semua rakyat tanpa mengira latar belakang turut sama merasai usaha kerajaan meringankan beban,” katanya.

Menurut beliau, bantuan menyeluruh berperanan mengisi kekurangan dasar bersasar, manakala bantuan bersasar pula memastikan sumber diagihkan secara lebih efisien kepada mereka yang paling memerlukan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.