SHAH ALAM, 23 JULAI: Rakyat akan menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan pada akhir September depan, umum perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara bagi membolehkan rakyat biasa menikmati subsidi sementara selain menangani ketirisan buat mereka yang tidak layak.
“Sebelum akhir September ini, saya akan pastikan pelaksanaan menurunkan harga minyak (RON95) kepada RM1.99 seliter. Ini penurunan yang agak tinggi walaupun ia melibatkan kos kepada pemerintah dan kerajaan yang bertambah.
“Ia akan memberi manfaat kepada 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya dalam pengumuman penghargaan untuk rakyat, hari ini.
Beliau yang juga menteri kewangan memberitahu kerajaan kekal dengan perancangan penyelarasan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September ini.
“Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun meskipun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” ujarnya.