SHAH ALAM, 22 JULAI: Keadaan di wad zon merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini cemas selepas suis soket di wad itu terbakar, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kejadian sekitar 5 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa serta kerosakan yang teruk.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.13 petang sebelum tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran hanya melibatkan suis soket di wad zon merah HTAR,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata api bagaimanapun telah dipadamkan oleh pihak hospital sebelum ketibaan bomba dengan anggaran kemusnahan satu peratus dan tidak melibatkan mangsa.
-- BERNAMA
[caption id="attachment_711842" align="alignnone" width="500"]
Tangkap layar video orang ramai keluar ke pekarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang susulan kebakaran wad zon merah pada 22 Julai 2025.[/caption]


