MELAKA, 22 JULAI: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dirawat di Hospital Melaka selepas nyaris lemas ketika mandi di kolam renang di sebuah pangsapuri di Taman Kota Laksamana pada Ahad lepas, meninggal dunia pagi tadi.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Rinting 3, Johor itu disahkan meninggal dunia oleh Pengarah Hospital Melaka kira-kira pukul 11 pagi.
"Punca kematian disebabkan hilang fungsi otak. Mangsa sebelum ini bergantung pada alat bantuan pernafasan dan sepatutnya hari ini, alat berkenaan dibuka untuk melihat sama ada kanak-kanak itu boleh bernafas sendiri atau tidak, tetapi jantungnya telah berhenti dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini hari ini.
Ngwe berkata jenazah kanak-kanak itu telah dituntut oleh waris pada 12.05 tengah hari tadi untuk dikebumikan di Johor.
Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak yang berasal dari Masai, Johor itu nyaris lemas ketika mandi di kolam renang pangsapuri berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi pada Ahad.
Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital terbabit.
Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu datang ke kolam renang berkenaan bersama keluarganya sebelum warisnya mendapati kanak-kanak itu tiada di kolam berkenaan.
Waris mangsa kemudian mencarinya di sekitar kawasan itu, tetapi beberapa orang awam telah mengeluarkan kanak-kanak itu dari kolam berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA


