ad
AGENDA

PM: Moga pengumuman bawa manfaat buat rakyat terbanyak

22 Jul 2025, 8:14 AM
PM: Moga pengumuman bawa manfaat buat rakyat terbanyak

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia yang akan dibuat esok, merupakan tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada rakyat yang sentiasa teguh bersama kerajaan dalam setiap langkah reformasi.

“Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut berkongsi perdana menteri akan membuat pengumuman mengenai penghargaan buat semua rakyat Malaysia pagi esok.

Anwar sebelum ini, ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya semalam, berkata penghargaan luar biasa kepada rakyat itu akan diumumkan pada hari ini atau esok.

Bagaimanapun, tiada perincian lanjut diberikan mengenai bentuk penghargaan yang bakal diumumkan.

Sementara itu, menurut infografik yang dikongsikan Anwar, pengumuman itu dijadual berlangsung 10.30 pagi esok dan disiarkan secara langsung menerusi semua saluran utama termasuk RTM, Media Prima, Astro Awani, Bernama TV, TVS, TV AlHijrah serta platform media sosial seperti Facebook Live.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.