ad
AGENDA

PM mahu ilmu turath jadi panduan bina negara berteras nilai, akhlak

21 Jul 2025, 10:31 AM
PM mahu ilmu turath jadi panduan bina negara berteras nilai, akhlak
PM mahu ilmu turath jadi panduan bina negara berteras nilai, akhlak

Oleh Nur Azyyati Omar

SHAH ALAM, 21 JULAI: Menghidupkan semula turath, legasi ilmu Islam yang dibina sejak lebih 1,000 tahun lalu menjadi penyelesaian utama isu umat Islam di negara ini.

Perdana Menteri berkata sebahagian umat Islam tidak berakar kepada ilmu yang kukuh menyebabkan mereka mudah terjebak dengan fahaman ekstrem.

Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar warisan keilmuan Islam atau turath diangkat semula sebagai panduan dalam membina negara yang berteraskan nilai dan akhlak.

“Turath ini bukan sekadar kitab lama, tapi khazanah yang menggali tasawuf, fiqah, tafsir dan hadis dan membentuk kefahaman Islam yang mendalam dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Julai di Puspanita, Putrajaya, hari ini.

Ucapan beliau merujuk kupasan kitab turath dalam Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS 3.0), anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung pada 12 Julai hingga semalam.

Festival tersebut merupakan inspirasi Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertujuan menghidupkan kitab turath sebagai panduan utama menghadapi cabaran moden.

FTIS 3.0 menampilkan lima tokoh ilmuwan Islam terkemuka iaitu Dr Adi Hidayat, Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, Prof Dr Idris al-Kharshafi, Dr Mohammad Akram an-Nadwi dan Dr Majd Makki bagi mengupas dua kitab tafsir agung karya Imam as-Suyuti.

[caption id="attachment_711543" align="alignnone" width="794"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Julai di Puspanitapuri hari ini.
Foto BERNAMA[/caption]

Mengulan lanjut, Anwar menegaskan terdapat kelompok dalam masyarakat hari ini yang telah terpisah daripada akar ilmu dan budaya Islam akibat pengaruh penjajahan lama.

“Kejayaan penjajahan bukan sekadar merampas tanah tetapi merosakkan roh, minda dan jiwa kita daripada nilai serta warisan Islam,” katanya.

Tambah beliau, seorang sarjana tidak boleh terpisah daripada tradisi dan khazanah ilmunya sama seperti mana intelektual barat mesti faham sejarah peradaban mereka sendiri.

Anwar turut menyokong usaha memperkasa institusi pondok dan tahfiz dengan gabungan ilmu moden seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selari dengan kekuatan akidah dan turath Islam.

“Kita perlu kuasai teknologi dan kecerdasan buatan (AI), tapi jangan sampai hilang akar. Nilai dan agama perlu jadi asas kepada semua kemajuan ini,” jelasnya.

Beliau juga menekankan pentingnya memberikan ruang kepada ulama pondok dalam majlis arus perdana, termasuk membenarkan mereka menyampaikan ucapan dan doa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.