ad
AGENSI

Johan Setia, Banting antara sembilan kawasan rekod IPU tidak sihat

21 Jul 2025, 8:30 AM
Johan Setia, Banting antara sembilan kawasan rekod IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Sebanyak sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 3 petang ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Alor Gajah di Melaka mencatatkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 157 diikuti Seremban, Negeri Sembilan (155) dan Kemaman, Terengganu (153).

Tiga kawasan lain, iaitu Johan Setia di Selangor, Temerloh di Pahang dan Balok Baru di Kuantan, Pahang masing-masing merekodkan bacaan 152.

Nilai di Negeri Sembilan pula mencatatkan bacaan 138, Banting di Selangor (135) dan Cheras (132) turut merekodkan tahap IPU tidak sihat.

Menurut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang boleh memberikan kesan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit pernafasan.

JAS dalam kenyataan terdahulu menasihati orang awam supaya mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka sekiranya berada di kawasan terbuka serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami sesak nafas atau gangguan pernafasan.

Maklumat terkini mengenai bacaan IPU boleh disemak melalui laman sesawang https://apims.doe.gov.my.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.