Oleh Danial Dzulkifly
KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Tiada kawalan terhadap perkhidmatan skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL) yang boleh menyebabkan peningkatan kos kepada pengguna selain mewujudkan monopoli oleh penyedia utama.
Menyuarakan kebimbangan, Ahli Parlimen Puchong berkata penyedia BNPL mengenakan caj kepada peniaga antara 5 hingga 6 peratus — satu lonjakan ketara berbanding caj 1.5 hingga 3.5 peratus yang biasa dikenakan syarikat kad kredit dan gerbang pembayaran dalam talian.
Walaupun caj tersebut ditanggung oleh peniaga, Menurut Yeo Bee Yin, kos berkenaan akhirnya dipindahkan kepada pengguna tanpa mengira kaedah pembayaran.
“Ini bermakna mereka yang membayar secara tunai secara tidak langsung membiayai subsidi pengguna BNPL, walaupun mereka tidak memilih perkhidmatan itu,” katanya ketika membahaskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Penggunaan BNPL di Malaysia meningkat mendadak, yang mana Bank Negara Malaysia merekodkan transaksi bernilai RM9.3 bilion pada separuh pertama 2024 — tiga kali ganda berbanding RM2.7 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Akaun aktif BNPL kini meningkat kepada 6.5 juta, dengan lebih 100 juta transaksi dicatatkan hanya dalam tempoh enam bulan.
Bee Yin memberi amaran penguasaan beberapa pemain BNPL, termasuk mereka yang baru-baru ini menaikkan caj kepada peniaga, boleh mencetuskan tingkah laku monopoli.
“Apabila sesebuah syarikat menguasai pasaran dan mempunyai kadar penggunaan yang tinggi, mereka boleh bertindak seperti monopoli,” katanya, menambah sektor tersebut sememangnya mempunyai halangan kemasukan yang tinggi disebabkan oleh kos dan keperluan teknologi.
Beliau menggesa kerajaan memperkenalkan kawalan harga ke atas caj peniaga dalam Akta Kredit Pengguna yang dicadangkan, bagi memastikan persaingan yang sihat.
Bekas menteri teknologi itu turut mengutarakan kebimbangan berhubung peningkatan hutang isi rumah, dan memberi amaran perkembangan agresif penyedia BNPL boleh membawa kepada pemberian kredit secara tidak bertanggungjawab.
“Terdapat risiko penyedia melonggarkan piawaian kredit semata-mata untuk menguasai pasaran, yang boleh mendedahkan pengguna kepada ketidakstabilan kewangan jangka panjang,” katanya.
Bagi menangani isu ini, Bee Yin mencadangkan supaya mandat Suruhanjaya Kredit Pengguna yang bakal ditubuhkan diperkuatkan agar dapat menjalankan pengawasan yang kukuh ke atas sektor BNPL serta menegakkan piawaian pemberian pinjaman secara bertanggungjawab.
Beliau turut mencadangkan agar pendidikan literasi kewangan diperkenalkan di sekolah, disertai kempen kesedaran nasional mengenai pengurusan kewangan peribadi, kredit dan hutang.
“Literasi kewangan adalah satu kemahiran hidup. Ia perlu diterapkan dalam sistem pendidikan kita,” tegas Bee Yin.