SHAH ALAM, 19 JULAI: Pendakwah terkenal Indonesia bersyukur atas kelancaran dakwah dalam suasana harmoni dan keilmuan sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS 3.0) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, malam tadi.
Dr Adi Hidayat turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ucapan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas kejayaan menganjurkan festival berprestij itu.
"Terima kasih teruntuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atas kehangatan dalam jamuan serta dialog yang menginspirasi. Semoga senantiasa dijaga dan diberkahi Allah SWT.
"Tahniah teruntuk sahabat mulia Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amiruddin Shari. Semoga dimudahkan dan diberkahi dalam bertugas," tulisnya di Instagram.
[caption id="attachment_711169" align="alignnone" width="985"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama para ulama dan asatizah di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar pada 18 Julai 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
Sementara itu, Amirudin berkata beliau berbesar hati meraikan para ulama, asatizah dan tokoh utama seperti Sheikh Dr Mohammad Akram An-Nadwi, Sheikh Dr Majd Makki, Ustaz Dr Adi Hidayat dan Baba Haji Ghazali al-Fathani.
Penghargaan juga diberikan kepada mudir dan guru pondok dari Malaysia, Indonesia dan Thailand yang hadir pada majlis jamuan makan malam dan solat Maghrib berjemaah di kediaman rasmi beliau malam tadi.
“Dalam majlis ini, perdana menteri turut berkongsi kisah beliau mula mendalami khazanah turath Islami semasa dalam penjara termasuk mengkaji karya agung Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti Munyatul Musolli dan Aqidatun Najin,” tulisnya di Facebook.
FTIS 3.0 bermula sejak 12 Julai hingga esok menampilkan 18 tokoh agama dan ulama tersohor, yang akan menjalankan tiga sesi pengajian setiap hari bermula jam 9 pagi manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.
[caption id="attachment_711171" align="alignnone" width="905"] Pendakwah terkenal Indonesia, Dr Adi Hidayat ketika mengimamkan solat Maghrib bersama jemaah di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar pada 18 Julai 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]