ad
AGENDA

Mikrocip, pemandulan boleh tangani kes aniaya kucing

19 Jul 2025, 4:00 AM
Mikrocip, pemandulan boleh tangani kes aniaya kucing
Mikrocip, pemandulan boleh tangani kes aniaya kucing

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) perlu proaktif menangani kes dera, racun dan bunuh kucing.

Bagi menjayakan usaha itu, Kelab Kucing Malaysia menyeru pihak terbabit mencontohi sesetengah negara luar yang menanamkan mikrocip pada kucing bagi tujuan pengesanan.

Presidennya Khalid Rashid turut menyarankan DVS menawarkan harga berpatutan agar lebih ramai mengambil inisiatif memandulkan kucing peliharaan mereka.

"Kerajaan dan PBT perlu main peranan dengan menangkap kucing jalanan dan bawa ke satu tempat yang boleh mandulkan selain perlu juga tanam mikrocip pada kucing itu untuk sesiapa yang mahu membela haiwan ini.

"Sekiranya terlepas kita boleh tahu kucing itu milik siapa, kalau tidak ia akan jadi susah dikawal dan semakin berlarutan.

"Ia sekali gus menganggu persekitaran, mungkin menjadikan segelintir individu bertindak agresif sehingga timbulnya kes dera atau bunuh," katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_711094" align="alignnone" width="816"] Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid bersama haiwan peliharaannya. Foto Khalid Rashid[/caption]

Bagaimanapun, Khalid berkata ibu bapa juga perlu memainkan peranan mendidik anak dari awal supaya mencintai haiwan selain mengawal masa skrin mereka daripada melihat kandungan yang tidak berfaedah.

Tegas beliau, media juga perlu menyiarkan lebih banyak rancangan kesedaran terhadap haiwan, sayangi haiwan atau program pendidikan yang mampu memberi kesan positif kepada kanak-kanak.

"Setiap agama pun ajar kebaikan, sifat kasih sayang terhadap haiwan. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka pantau apa yang anak tonton di YouTube mahupun televisyen kerana sekarang kandungan terlalu bebas, ada yang tunjuk haiwan dikerat walaupun dalam bentuk kartun, ini satu perkara yang membahayakan.

"Media pun penting perlu ada sebuah program mendidik masyarakat kasihi haiwan sebab sekarang saya lihat seolah sudah berkurang rancangan sedemikian," katanya.

Khalid juga menggalakkan pemilik yang mahu memandulkan kucing pada harga berpatutan agar menghubungi beliau di talian 02-220 0982 atau layari laman sesawang Kelab Kucing Malaysia https://www.malaysiacatclub.com/

Terdahulu, beberapa gambar kucing yang didakwa diracun dan dibunuh di kawasan Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang itu tular di media sosial, mencetuskan kemarahan serta kebimbangan penduduk setempat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.