AGENSI

Projek bina asrama anak yatim Yide capai 78.5 peratus, jangka siap awal tahun depan

18 Jul 2025, 11:30 AM
Projek bina asrama anak yatim Yide capai 78.5 peratus, jangka siap awal tahun depan
Projek bina asrama anak yatim Yide capai 78.5 peratus, jangka siap awal tahun depan

SHAH ALAM, 18 JUL: Projek pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah mencapai 78.5 peratus kemajuan setakat ini.

Menurut agensi itu, kerja pembangunan kini tertumpu kepada kemudahan utama seperti blok asrama dan pentadbiran, surau, dewan serbaguna, gelanggang permainan serta arena kiosk.

Bagaimanapun, Yide memaklumkan sejumlah RM5.4 juta baki dana masih diperlukan bagi melengkapkan projek yang dijangka siap sepenuhnya hujung Januari tahun hadapan.

Orang ramai boleh berinfaq untuk pembinaan kompleks tersebut melalui pautan https://yide.com.my/infaq/.

“Ayuh kita bersama-sama menyokong pembinaan pusat kecemerlangan dan harapan buat anak-anak yatim ini.

"Sumbangan anda layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata agensi itu di Facebook.

[caption id="attachment_711016" align="aligncenter" width="812"] Pembinaan blok asrama di Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang mencapai kemajuan 78.5 peratus setakat 18 Julai 2025. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan[/caption]

Sebelum ini, Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor memaklumkan kos keseluruhan pembinaan kompleks mencecah RM17 juta yang bakal memberi perlindungan kepada sekitar 200 anak yatim dengan fasiliti kondusif dan selesa.

Yide merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang ditugaskan mengurus kebajikan anak-anak yatim serta bantuan musibah kepada masyarakat Islam di negeri ini.