SHAH ALAM, 17 JUL: Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang bakal menamatkan perkhidmatannya di negeri ini tidak lama lagi.
Dato' Menteri Besar turut mengucapkan selamat maju jaya dan berharap beliau dapat melaksanakan amanah baharu sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman dengan cemerlang.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat cemerlang beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Selangor.
“Kerjasama erat telah terjalin antara pentadbiran negeri dan polis sepanjang lebih dua tahun beliau di Selangor terutama dalam pengurusan insiden besar seperti nahas pesawat terhempas di Elmina dan letupan paip di Putra Heights,” ucap Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook.
[caption id="attachment_710893" align="aligncenter" width="761"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengadakan lawatan ke Pejabat Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari pada 17 Julai 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
Amirudin turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas Hussein termasuk penglibatan dalam pasukan forensik tragedi nahas MH17 akan memberi manfaat kepada jabatan baharunya.
“Memandangkan hari ini, 17 Julai, merupakan tarikh genap 11 tahun sejak tragedi menyayat hati pesawat MH17 yang ditembak jatuh, saya teringat salah satu kisah yang pernah diceritakan Datuk Hussein kepada saya.
“Beliau merupakan salah seorang pegawai polis yang terlibat dalam pasukan forensik yang telah diterbangkan ke lokasi kemalangan bagi membantu proses pengecaman mangsa ketika itu,” katanya.
Pada 20 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia mengumumkan pertukaran Hussein Omar yang akan mengisi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman berkuat kuasa 21 Julai ini.