AGENSI

Penduduk Seri Nilam gesa siasat segera kes kucing diracun, dibuang dari tingkat atas

17 Jul 2025, 10:10 AM
Penduduk Seri Nilam gesa siasat segera kes kucing diracun, dibuang dari tingkat atas

SHAH ALAM, 17 JUL: Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera terhadap kes pembunuhan kucing yang didakwa diracun dan dibuang dari tingkat atas Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang.

Penduduk setempat mahu individu terlibat dikenakan hukuman sewajarnya mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 bagi memberi pengajaran dan mencegah kejadian seumpama itu daripada terus berulang.

Rohani Osman, 60, menyifatkan tindakan kejam tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan nilai agama yang menuntut belas ihsan terhadap haiwan.

“Saya anggap kucing ini juga seperti manusia, dia makhluk bernyawa dan disayangi Nabi. Kalau pelaku sanggup buat begitu, memang kejam sangatlah dia.

“Kalau dia marah sangat pun, boleh maklum pada jiran. Jangan terus bunuh. Kalau tak suka, boleh bawa ke pasar atau pusat jagaan haiwan. Jangan kejam,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Zila Abdul Rahman, 49, berkata kekejaman terhadap haiwan boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan mental kanak-kanak yang terdedah dengan kejadian tersebut.

“Kalau anak-anak kecil terbiasa tengok kucing diseksa atau dibunuh, ia boleh bentuk jiwa yang keras. Hari ini kucing, esok-esok takut jadi manusia pula jadi mangsa.

“Penduduk ada yang sudah buat laporan. Jangan tunggu sampai kes jadi lebih besar baru nak ambil tindakan,” katanya.

Bagi Zie Azhar, 54, kejadian itu menjijikkan apatah lagi beberapa bangkai kucing turut ditemui di kawasan awam sekitar pangsapuri terbabit.

“Kita ada undang-undang. Guna undang-undang itu untuk ajar mereka yang zalim terhadap haiwan. Kalau tidak, kejadian ini akan terus berlaku,” katanya.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau pihak berkuasa tempatan berhubung hasil siasatan atau sebarang tangkapan berkaitan kes berkenaan.

Terdahulu, beberapa gambar kucing yang didakwa diracun dan dibunuh di kawasan pangsapuri itu tular di media sosial, mencetuskan kemarahan serta kebimbangan penduduk setempat.