ad
BERITA UTAMA

Bertudung, berani dan berbakat: Ikon baharu ragbi wanita Malaysia

17 Jul 2025, 4:00 AM
Bertudung, berani dan berbakat: Ikon baharu ragbi wanita Malaysia
Bertudung, berani dan berbakat: Ikon baharu ragbi wanita Malaysia
Bertudung, berani dan berbakat: Ikon baharu ragbi wanita Malaysia
Bertudung, berani dan berbakat: Ikon baharu ragbi wanita Malaysia

Ragbi lebih sinonim dengan kaum lelaki, namun beberapa figura wanita berbakat besar berjaya mengubah landskap sukan lasak itu di Malaysia.

Rozliana Mohd Ridwan, 35, Nur Izzah Azizan, 26, dan Puteri Dulillah Badrul Hisham, 18, antara nama-nama yang sering menjadi sebutan dek kelincahan di atas padang.

Ketiga-tiga mereka memacu pasukan Cobra Venom menjuarai Liga Ragbi Wanita anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS)- Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 26-12 pada 22 Jun.

[caption id="attachment_710759" align="aligncenter" width="704"] Rozliana Mohd Ridwan, 35, bercakap kepada Media Selangor ketika Liga MSNS-KRS 2025 di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 14 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Selaku kapten, Rozliana bijak mengatur strategi. Taktikalnya berjaya membantu pasukan melakar beberapa kejayaan sehingga ke peringkat kebangsaan.

Keberaniannya di atas padang menjadikan beliau sentiasa digeruni bukan saja oleh pasukan lawan tapi juga pemain lelaki.

Perjalanan karier wanita ini dalam sukan ragbi yang disertai ketika berusia 27 tahun penuh suka duka. Apatah lagi beliau sebelum ini bermula dengan sukan bola jaring.

Rozliana yang juga pemain kebangsaan sering berdepan pandangan skeptikal masyarakat yang melihat ragbi sebagai sukan ‘terlalu ganas’ untuk wanita.

Namun, semangatnya tidak pernah luntur. Dengan sokongan keluarga dan rakan sepasukan, wanita berhijab itu terus membuktikan kemampuan luar biasa dimilikinya.

Tugas Rozliana tidak mudah. Bukan sahaja mengetuai pasukan, beliau turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat muda dalam sukan ini.

[caption id="attachment_710761" align="aligncenter" width="720"] Nur Izzah Azizan, 26, bercakap kepada Media Selangor ketika Liga MSNS-KRS 2025 di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 14 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Kami bukan sekadar bermain, kami mahu diiktiraf setaraf. Ragbi bukan sukan milik lelaki saja. Walaupun saya dan beberapa lagi pemain bertudung, ia bukan penghalang," katanya.

Naib kapten, Nur Izzah mula bermain dengan pasukan Cobra Venom pada 2018 kerana meminati strategi sukan tersebut.

Meskipun berjinak-jinak dalam sukan tersebut sejak bangku sekolah, beliau ketika itu hanya didedahkan dengan ragbi sentuh. Corak permainannya lebih menekankan kelincahan, kepantasan dan strategi tanpa kontak keras.

Bermula pada 2018, beliau menyertai ragbi ‘tackle’ yang lebih mencabar. Ia melibatkan elemen fizikal, taktikal serta kemahiran tinggi.

"Bagi saya Selangor salah satu pusat membangunkan atlet ragbi terutama wanita. Jika seseorang itu datang 'zero' (tiada ilmu ragbi), insya-Allah boleh pandai.

"Jurulatih kami semua profesional, memahami dan sering bagi tunjuk ajar. Boleh kata mudah toleransi," jelas anak jati Selangor itu.

[caption id="attachment_710760" align="aligncenter" width="705"] Puteri Dulillah Badrul Hisham, 18, bercakap kepada Media Selangor ketika Liga MSNS-KRS 2025 di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 14 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Tersenarai dalam pencalonan skuad kebangsaan, Puteri Dulillah tidak pernah terfikir bermain ragbi kerana beliau aktif dalam sukan olahraga dan taekwando.

Kerap menemani adiknya ke latihan ragbi, beliau perlahan-lahan mencuba dengan sokongan keluarga. Akhirnya jatuh cinta pada 2023 tanpa desakan sesiapa.

Wanita kecil molek itu bersyukur kerana berjaya menyertai pasukan hebat. Beliau berhasrat untuk melebarkan sayapnya ke peringkat lebih tinggi.

"Dalam tempoh lima tahun lagi, saya mahu mewakili Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya yang menjadikan pemain ragbi antarabangsa Jorja Miller sebagai idola.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.