AGENDA

Padah ceroboh Parlimen, YouTuber warga China didenda RM800

16 Jul 2025, 8:15 AM
Padah ceroboh Parlimen, YouTuber warga China didenda RM800

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Padah menceroboh kawasan Parlimen Malaysia, seorang penggiat YouTube atau YouTuber separuh masa warga China didenda RM800 atau dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M.S Arunjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Li Zhechen, 25, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja memasuki kawasan Parlimen yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan di bawah Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 5.30 petang, 9 Julai lepas mengikut Seksyen 7 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Li telah memasuki kawasan Parlimen untuk mengambil gambar dan video sebelum dia ditahan pihak polis yang bertugas pada hari tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Md Hassan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

Peguam Lee Ewe Kiang mewakili Li memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf selain tidak berniat untuk menceroboh kawasan larangan.

"Pada hari kejadian, anak guam yang datang ke Malaysia untuk melancong sedang beriadah di Taman Tasik Perdana sebelum memasuki kawasan Parlimen yang berdekatan dengan taman tasik itu.

"Li memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat," kata peguam itu.

- BERNAMA