SEREMBAN, 16 JUL: Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun disyaki mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah kedai runcit di kawasan perumahan Sri Palma Villa, Mantin, Nilai semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada 3.28 petang, memaklumkan anaknya dipukul dan diugut oleh wanita dikenali semasa berada di kedai runcit berkenaan.
“Kejadian dilaporkan berlaku semalam, pada 12.30 tengah hari apabila kanak-kanak itu sedang membeli minuman di kedai berkenaan secara tiba-tiba diserang oleh suspek dengan menendang dan memijak mangsa di bahagian muka serta kaki.
“Suspek juga didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap mangsa. Kejadian itu turut dirakam menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan disaksikan oleh seorang pelanggan yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Malik berkata susulan itu suspek ditahan 10.58 malam tadi dan siasatan awal mendapati suspek adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dipercayai mengalami masalah kesihatan mental.
Beliau berkata suspek didakwa berada dalam keadaan halusinasi semasa kejadian dan mengesyaki mangsa telah mencuri barangan di premis itu, walaupun tiada bukti menunjukkan sedemikian.
“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan didapati mengalami bengkak pada bahagian hidung serta lebam di beberapa bahagian kaki,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA


