PUTRAJAYA, 15 JULAI: Satu pengumuman dijangka dibuat esok berhubung pelantikan kehakiman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil mengakui terdapat kelewatan dan kebimbangan mengenai beberapa pelantikan, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa semua keputusan dibuat dengan adil dan telus.
"Pagi tadi saya mengadakan (perbincangan) panjang lebar dengan Majlis Raja-Raja. Saya rasa biarlah mereka yang tentukan, dan mudah-mudahan esok ada pengumuman yang jelas yang akan melenyapkan persepsi negatif itu," katanya dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Integriti dan Tadbir Urus Malaysia di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa Kerajaan MADANI menghormati kebebasan kehakiman dan tidak campur tangan dalam mana-mana hakim atau kes mahkamah sepanjang beliau memegang jawatan perdana menteri.
"...dan saya harap apabila pengumuman itu dibuat, ia membuktikan bahawa kerajaan ini komited kepada reformasi (institusi) termasuk prinsip kebebasan kehakiman," katanya.
- BERNAMA


