AGENDA

Seorang maut, lima cedera dihempap rak barang 17 tingkat

15 Jul 2025, 6:44 AM
Seorang maut, lima cedera dihempap rak barang 17 tingkat

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seorang lelaki warga Bangladesh maut, manakala lima cedera dihempap runtuhan rak penyimpanan barang setinggi 17 tingkat di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Olak Lempit, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa yang maut berusia 33 tahun ditemui di bawah timbunan barang pada jam 11.20 pagi.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.54 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke lokasi.

"Kejadian membabitkan enam mangsa dihempap runtuhan rak penyimpanan barang 17 tingkat. Bagaimanapun lima mangsa berjaya dikeluarkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi, manakala seorang lagi mangsa belum ditemui ketika itu.

"Susulan itu, kerja mencari mangsa di bawah runtuhan dilakukan sebelum berjaya ditemui di bawah timbunan barang dan disahkan meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan.