SHAH ALAM, 15 JULAI: Seorang operator maut dalam kejadian letupan mesin pengering di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Kawasan Perindustrian Tanjung, Sepang, pada Sabtu lalu.
Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, kejadian berlaku pada jam 2.56 petang dan melibatkan seorang lelaki warga asing yang sedang menjalankan kerja-kerja membasuh dan mengeringkan produk sarung tangan, lapor Berita Harian.
“Kemalangan berlaku ketika mangsa ditugaskan memasukkan sarung tangan ke dalam mesin basuh, sebelum memindahkannya ke mesin pengering.
“Setelah selesai, mangsa kembali ke mesin pengering untuk membuat pemeriksaan dengan memegang dinding pintu menggunakan tangan.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebaik sahaja mangsa menekan butang ‘start’, berlaku satu letupan yang menyebabkan pintu mesin pengering terkena mangsa hingga terpelanting.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta,” menurut kenyataan itu.
Susulan insiden tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu kepada pihak majikan bagi menghentikan semua aktiviti kerja di premis berkenaan serta-merta sehingga siasatan selesai.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta pihak yang bertanggungjawab di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.


