Oleh Amirahwani Rahimi
SHAH ALAM, 14 JULAI: Belia masa kini semakin taksub terhadap media sosial hingga memberi kesan langsung kepada kesihatan mental mereka, menurut kaunselor.
Pensyarah kanan kaunseling Taylor's University, Dr Ahmad Mustaqim Yusoff berkata amalan bangun tidur dan terus mencapai telefon pintar menjadi awalan kepada ketagihan yang kian membimbangkan.
"Budaya tersebut menggambarkan kebergantungan yang tinggi terhadap gajet dan kandungan digital sekali gus memberi impak negatif terhadap kestabilan emosi dan kesejahteraan diri seseorang.
"Media sosial bukan sekadar alat komunikasi tetapi telah menjadi ruang pembentukan identiti yang membuat ramai mengejar 'likes' dan komen sebagai bentuk pengesahan luaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Semasa bertajuk 'Obsesi Media Sosial, Mental Jadi Korban' terbitan Media Selangor.
Ahmad Mustaqim menjelaskan, perbandingan sosial yang berlaku di media sosial turut menyumbang kepada perasaan rendah diri dalam kalangan pengguna terutama golongan muda.
Ujarnya, pengguna sering menilai kehidupan sendiri berdasarkan kehidupan ideal yang ditampilkan pempengaruh, sedangkan hakikatnya tidak seindah yang dipaparkan.
"'Self-diagnose' pula semakin berleluasa, di mana individu melabel diri dengan masalah skizofrenia atau delusi berdasarkan kandungan di laman TikTok atau Instagram.
"Ini sangat berbahaya dan boleh menyebabkan salah faham terhadap kesihatan mental sendiri," tegas beliau.
Jelas Ahmad Mustaqim lagi, stigma terhadap bantuan profesional masih menjadi penghalang utama kerana masih ramai yang takut untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dilabel 'gila'.
Beliau menegaskan khidmat kaunselor dan pakar psikologi adalah medium untuk semua peringkat kesihatan mental, bukan semata-mata pesakit kronik.
[caption id="attachment_574019" align="alignnone" width="848"] Ilustrasi kemurungan. Foto BERNAMA[/caption]
Pendedahan melampau jejas emosi
Perkongsian berlebihan atau overexpose di media sosial kini menjadi kebiasaan dalam kalangan belia, daripada detik kelahiran anak, percutian peribadi sehinggalah urusan rumah tangga dan penceraian.
Menurut Ahmad Mustaqim, meskipun dilihat sebagai bentuk ekspresi diri, ia sebenarnya membuka ruang kepada tekanan emosi yang tidak disedari sekali gus pengguna mula bergantung kepada maklum balas orang lain sebagai kayu ukur nilai diri.
"Sifat manusia suka pada validasi luaran. Bila pendapat orang tidak sejajar dengan nilai diri, kita rasa kecewa dan akhirnya hilang keyakinan," katanya lagi.
Lebih membimbangkan, jelas beliau, budaya 'over expose' ini turut mendorong orang ramai untuk berkongsi cerita peribadi hanya demi perhatian atau simpati, tanpa menyedari kesan jangka panjang terhadap emosi mereka.
"Penting untuk menetapkan sempanan dalam berkongsi kehidupan peribadi di ruang digital. Kita perlu tahu apa yang patut dikongsi dan apa yang lebih baik disimpan. Kesihatan mental kita lebih penting daripada jumlah tontonan," ujarnya.
Ketagih 'likes', komen dorong krisis identiti
Ketagihan terhadap 'likes' dan komen di media sosial kini menjadi gejala yagn semakin ketara dalam kalangan belia apabila ramai mengukur nilai diri berdasarkan jumlah reaksi yang diterima di media sosial.
Ahmad Mustaqim berkata, ketagihan ini berpunca daripada keinginan untuk mendapat pengesahan luaran, terutama daripada rakan sebaya di alam maya.
"Media sosial menjadi ruang pembentukan identiti, di mana ramai mencari pengesahan luaran. Bila tidak dapat perhatian, mereka rasa tidak cukup bagus.
"Fenomena ini boleh membawa kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental termasuk rasa rendah diri, hilang fokus terhadap nilai dalaman dan pergantungan berlebihan kepada pandangan orang lain.
"Lebih memburukkan keadaan, pengguna akan mula menyesuaikan kandungan dengan apa yang popular," jelasnya.
Tambah Ahmad Mustaqim, apabila seseorang terlalu bergantung pada reaksi orang lain untuk merasa dihargai, mereka mudah terkesan bila tidak mendapat sambutan sekali gus menjejaskan kestabilan emosi dan kepercayaan terhadap diri sendiri.
[caption id="attachment_491524" align="alignnone" width="936"] Gambar hiasan kanak-kanak menggunakan gajet. Foto ihsan Astro Radio News[/caption]
'Digital detox' rawat ketagihan maya
Dalam menghadapi ketagihan media sosial yang semakin membimbangkan, pendekatan 'digital detox' disarankan sebagai langkah awal untuk memulihkan semula keseimbangan mental dan emosi.
'Digital detox' merujuk kepada pengurangan atau menghentikan penggunaan peranti digital secara berkala bagi memberi ruang kepada pemulihan mental daripada tekanan dunia maya.
Menurut Ahmad Mustaqim, ketagihan media sosial bukan sahaja menyebabkan kehilangan fokus, malah mengganggu kualiti hubungan sosial dan produktiviti harian.
Beliau menekankan keperluan menetapkan had masa skrin sebagai strategi praktikal untuk mengawal pengunaan media sosial.
"Kurangkan masa skrin sedikti demi sedikit, contohnya, dari 10 jam sehari kepada lapan jam, kemudian enam jam.
Tetapkan had masa skrin harian di mana dua jam adalah masa yang disyorkan," katanya.
Menurut beliau, langkah ini bukan hanya terhad kepada golongan dewasa, malah perlu diterapkan sejak usia muda.
"Kanak-kanak bawah 18 bulan, sepatutnya tidak diberi pendedahan kepada skrin langsung manakala bagi kanak-kanak dan remaja, pemantauan dan pengawalan masa skrin perlu dilakukan secara konsisten.
"Ia bagi mengelakkan ketagihan awal yang boleh menjejaskan tumbesaran emosi dan sosial mereka."