AGENDA

FRIM Taman Hutan Selangor diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia

12 Jul 2025, 4:46 AM
FRIM Taman Hutan Selangor diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia

Oleh Aliff Haiqal Mohamed

SHAH ALAM, 12 JULAI: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM FPS) kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan berprestij itu diumumkan dalam sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 (47th World Heritage Committee) yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai 2025 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), keputusan tersebut dibuat oleh 21 negara anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh Prof. Nikolay Nenov dari Bulgaria.

“Usaha persediaan pencalonan tapak ini telah bermula sejak tahun 2013, dengan kejayaan ini, Malaysia secara keseluruhan telah berjaya menyenaraikan enam Tapak Warisan Dunia UNESCO" kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha ini.

"Alhamdulillah di atas pengiktirafan ini, tahniah kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Malaysia," katanya.

FRIM FPS merupakan tapak yang istimewa dan menjadi salah satu inisiatif terawal pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di bekas kawasan perlombongan bijih timah.

Sebelum ini, Malaysia telah menerima pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi lima lokasi iaitu Taman Kinabalu (2000), Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024).