PUTRAJAYA, 11 JULAI: Mangsa penipuan wang dalam talian atau scam digalakkan menghubungi talian kecemasan 997, bagi membolehkan tindakan segera pembekuan transaksi mencurigakan.
Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) berkata talian yang dikendalikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) itu akan menyelaras tindak balas pantas jenayah dalam talian.
Menurut Dato’ Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, tindak balas tersebut termasuk penguatkuasaan terhadap penjenayah menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak polis.
“Tujuan kita sediakan talian 997 ini, sekiranya ada mangsa terkena penipuan kewangan, mereka boleh terus hubungi untuk kita terus bekukan (transaksi).
“Sebelum ini talian itu beroperasi 8 pagi hingga 8 malam tetapi perdana menteri telah beri arahan dan dipersetujui dua minggu lalu untuk ia beroperasi 24 jam, dengan dibantu polis.
[caption id="attachment_709912" align="alignleft" width="500"]
Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil ditemui Media Selangor di NFCC Putrajaya pada 11 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Mangsa boleh segera hubungi kita supaya kita boleh tanda akaun berkenaan. Jika ia sudah dipindahkan ke bank lain pun kita masih boleh bekukan,” katanya ketika ditemui Media Selangor di pejabatnya, hari ini.
Bagaimanapun, Shamshun Baharin berkata, tidak ramai mangsa penipuan dalam talian mengetahui kemudahan talian 997 yang telah disediakan sejak Oktober 2022.
Sehubungan itu, katanya, NFCC akan melakukan pelbagai kempen dengan lebih meluas bagi memastikan masyarakat lebih cakna terhadap talian kecemasan 997, selain program pencegahan jenayah siber.
“Saya kira dari segi peratusan, hanya 10 ke 20 peratus sahaja yang tahu kewujudan NSRC dan talian ini. Saya harap pihak media dapat bantu kami uar-uarkan. Apa tindakan yang perlu dibuat mangsa sekiranya mereka ditipu secara dalam talian,” katanya.
NSRC ditubuhkan bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.
NSRC menggabungkan kerjasama polis, BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan NFCC, sebagai inisiatif membendung penipuan dalam talian.


