SHAH ALAM, 11 JULAI: Bermula sebagai pengusaha taska, Adibah Nor Mokles merubah arah perniagaan ke dunia teknologi apabila membangunkan sistem digital khusus untuk pengurusan pusat pendidikan dan penjagaan.
Adibah, 36, yang mengusahakan syarikat KC Edutech Sdn Bhd bersama suaminya, Rijalul Fauzi Mustapa, 41, berkata idea membangunkan sistem Swyfted tercetus hasil pengalaman sendiri ketika menguruskan taska Kids Campus.
“Kami berdepan kesukaran menguruskan pendaftaran dan bayaran di taska sebelum ini. Dari situ kami fikir untuk bangunkan sistem yang boleh bantu mudahkan urusan. Swyfted menyediakan solusi menyeluruh bagi meningkatkan ekosistem kewangan perniagaan pendidikan.
"Swyfted juga menyelesaikan semua perkara dalam satu sistem. Semua rekod pelajar, invois, resit, dan transaksi disimpan secara automatik.
"Alhamdulillah sistem ini mendapat sambutan daripada rakan-rakan pengusaha taska lain yang berminat untuk membeli dan menggunakan sistem berkenaan," katanya yang dinobatkan sebagai Ikon Insentif Digital Media Usahanita Muda (Usahanita Digital) 2025. Anugerah tersebut disampaikan EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari.
Pemenang menerima wang tunai RM5,000, trofi, sijil, piala iringan, geran khas dan peluang menyertai lawatan industri ke luar negara pada November ini.
[caption id="attachment_709771" align="aligncenter" width="700"]
Pemenang Ikon Usahanita Digital, Adibah Nor Mokles pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahanita Muda (Usahanita Digital) di Dewan Bankuet, SUK Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Program mengiktiraf kejayaan wanita itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Seramai 226 peserta mengikuti program Usahanita Digital yang diadakan selama tiga bulan bermula pada 10 April hingga 28 Jun tahun ini.
Mengakui program Usahanita Digital telah melonjakkan jualannya, Adibah berkata peserta diberi latihan membina laman web dan teknik pemasaran media sosial.
“Digital hanyalah alat. Yang penting ialah bagaimana kita rancang, laksana dan pastikan ia beri kesan sebenar kepada perniagaan kecil,” jelasnya yang berlatarbelakangkan pendidikan awal kanak-kanak.
[caption id="attachment_709774" align="aligncenter" width="700"]
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari (tengah) bergambar bersama pemenang anugerah pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahanita Muda (Usahanita Digital) di Dewan Bankuet, SUK Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]


