ad
AGENDA

Penurunan OPR dijangka bantu pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5 peratus

11 Jul 2025, 1:02 AM
Penurunan OPR dijangka bantu pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5 peratus

PETALING JAYA, 11 JULAI: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka membantu pertumbuhan ekonomi antara 4.5 peratus hingga 5 peratus pada tahun ini.

Pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus itu berupaya meningkatkan perbelanjaan isi rumah yang merupakan penyumbang terbesar kek ekonomi negara.

Beliau berkata, ketika ini BNM melihat jumlah wang dalam pasaran agak rendah susulan konflik peperangan negara Teluk dan kadar tarif baharu Amerika Syarikat, sehingga mempengaruhi perbelanjaan rakyat.

“Apabila BNM melihat jumlah wang pasaran agak rendah dan ekonomi kurang aktif, BNM akan turunkan OPR dan orang ramai akan buat pinjaman, menambah penggunaan di pasaran, meningkatkan permintaan dan penawaran dan akhirnya meningkatkan kadar pertumbuhan.

“Hari ini kita dilanda krisis. Dalam ekonomi, krisis paling penting adalah krisis keyakinan. Apabila isi rumah hilang keyakinan terhadap ekonomi, mereka akan berhenti berbelanja.

“Di Malaysia, perbelanjaan isi rumah adalah jumlah yang paling besar yang menentukan kadar pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika ditemui Media Selangor di pejabatnya, hari ini.

Beliau yang kini berkhidmat di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata kenaikan dan penurunan kadar OPR tidak boleh diramal dan bergantung sepenuhnya kepada keadaan ekonomi semasa dunia.

Jelasnya, penetapan kadar OPR bertujuan mengawal tekanan inflasi sekali gus membantu mengekalkan laluan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih stabil.

“Hal ini bergantung kepada keadaan ekonomi. Apabila ia sudah sampai puncak, semua orang akan banyak duit. Pada keadaan itu, wang akan banyak dalam pasaran dan bank akan kawal dengan kadar OPR untuk kawal tekanan inflasi,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, selain kadar siling dan kadar lantai bagi koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus.

Langkah pengurangan OPR itu merupakan kali pertama sejak era pandemik, selepas mengekalkan kadar tiga peratus sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.