ad
AGENDA

Suami isteri dicari polis selepas kereta dipandu terjatuh sungai

9 Jul 2025, 12:13 AM
Suami isteri dicari polis selepas kereta dipandu terjatuh sungai

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Suami isteri yang melarikan diri selepas kenderaan dipandu seorang daripada mereka terjatuh ke Sungai Langat di Hulu Langat semalam dicari polis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 9.30 pagi daripada orang awam, terdapat kereta terjatuh ke dalam sungai itu di Jalan Kuari Sungai Long.

Menurut Naazron, saksi awam yang tinggal berhampiran lokasi kejadian memaklumkan mereka terdengar bunyi bising di kawasan sungai pada 9 pagi dan melihat seorang lelaki dan seorang wanita keluar dari kenderaan sebelum melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan tiada individu berada dalam kenderaan tersebut ketika dinaikkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis berjaya mengesan pemilik kenderaan berkenaan yang memaklumkan kereta itu disewakan kepada seorang lelaki yang kemudian dipinjam suami isteri itu sebelum kejadian berlaku.

"Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Batu 14 Hulu Langat di talian 019-2642499," katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.