SHAH ALAM, 8 JUL: Fakulti Sains Sosial Universiti Islam Selangor (UIS) menganjurkan Bengkel Kewartawanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding, Hulu Langat pada 3 Julai lalu bagi menyuntik minat pelajar meneruskan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UIS Dr Hazlin Falina Rosli berkata program sehari itu mendedahkan 100 pelajar kepada kemahiran komunikasi dan potensi kerjaya dalam bidang media dan kewartawanan secara santai dan praktikal.
“Kami mahu mereka faham bahawa pendidikan tinggi bukan sekadar lulus peperiksaan, tetapi tentang membina masa depan.
“Melalui aktiviti seperti penulisan berita, pengucapan awam serta rakaman video dan audio, mereka belajar cara mengekspresikan diri dan berkomunikasi secara berkesan kerana kemahiran berkenaan penting dalam dunia kerja hari ini,” katanya dalam kenyataan.
[caption id="attachment_709359" align="aligncenter" width="721"]
Pelajar didedahkan dengan kemahiran komunikasi dalam bidang kewartawanan dan media ketika bengkel kewartawanan anjuran Fakulti Sains Sosial Universiti Islam Selangor (UIS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding, Hulu Langat pada 3 Julai 2025. Foto Universiti Islam Selangor[/caption]
Bengkel tersebut dikendalikan lima pensyarah UIS dan dibantu 17 mahasiswa Fakulti Sains Sosial yang bertindak sebagai fasilitator.
Ia juga selari dengan aspirasi pendidikan negara, khususnya dalam memperluas akses maklumat dan membina inspirasi dalam kalangan pelajar luar bandar.
Sementara itu, Pengetua SMK Dusun Nanding, Rozman Abd Kadir menyifatkan pendedahan secara langsung seperti ini mampu mengubah cara fikir pelajar yang sebelum ini pasif atau hilang arah selepas tamat persekolahan.
“Apabila pelajar diberi ruang meneroka pengalaman di luar bilik darjah, ramai mula menunjukkan minat dan bertanya tentang peluang menyambung pelajaran.
“Program seperti ini membantu membina keyakinan dan memberi pandangan baharu tentang masa depan mereka,” katanya.


