Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 6 JULAI: Malaysia perlu mewujudkan ekosistem lengkap industri semikonduktor, bukan sekadar menghasilkan cip jika mahu bersaing di peringkat global, kata Penasihat Strategik Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Chiang Shang-Yi.
Beliau berkata inisiatif Selangor membina taman reka bentuk litar bersepadu (IC) mesti disokong dengan strategi nasional yang jelas, sokongan kukuh kerajaan serta insentif untuk menggalakkan penglibatan syarikat swasta.
Chiang turut memuji kerajaan persekutuan dan negeri kerana menyokong semua pihak dalam industri semikonduktor, bukan sahaja pengeluar cip utama, malah syarikat kecil dan syarikat pemula yang turut bergantung pada infrastruktur yang sama.
“Inilah sebabnya mengapa keseluruhan ekosistem jauh lebih penting daripada apa yang boleh dicapai oleh mana-mana satu syarikat.
“Apa yang sedang dilakukan oleh Malaysia sangat memberangsangkan kerana mendapat sokongan dari kedua-dua peringkat, kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu temu bual bersama media Malaysia di Puchong.
Bekas eksekutif Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) itu berkata sokongan kerajaan seperti insentif cukai dan penyediaan infrastruktur sangat membantu kejayaan syarikat.
Beliau menambah bahawa membina asas yang betul mampu menggandakan pulangan pelaburan Malaysia dengan merangsang pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi.
[caption id="attachment_708864" align="aligncenter" width="700"] Penasihat Strategik Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Chiang Shang-Yi, ditemu bual oleh Media Selangor di ibu pejabat Sidec di Subang Jaya pada 3 Julai 2025. — Gambar oleh REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Belajar dari perjalanan TSMC
Berdasarkan pengalamannya di TSMC — di mana beliau membantu membangunkan teknologi cip-on-Wafer-on-Substrat (CoWos), Chiang berkata walaupun produk berprestasi tinggi ini mengagumkan, amat sukar untuk meyakinkan pengeluar cip utama supaya menggunakannya.
Menurutnya, ramai kagum dengan prestasi teknologi tersebut, namun berasa ragu-ragu untuk membuat pesanan sebenar.
Chiang berkata syarikat-syarikat tersebut mahu margin keuntungan yang jauh lebih rendah, dan bimbang untuk bergantung kepada hanya satu pembekal.
Penemuan penting akhirnya berlaku apabila sebuah pengeluar IC kecil berani mencuba dan membuat pesanan dalam jumlah kecil.
Tindakan itu memberikan keyakinan kepada pasukan Chiang untuk membangunkan penyelesaian kos rendah yang dikenali sebagai pembungkusan Integrated Fan-Out (InFO), yang mengekalkan prestasi yang sama tetapi mengurangkan kos pengeluaran kepada hanya satu sen setiap milimeter persegi.
“Ia sangat hebat, dan kini terjual seperti pisang goreng panas di pasaran. Ia menjana berbilion dolar dalam hasil setiap tahun.”
Chiang berkata kepercayaan pelanggan mengambil masa untuk dibina, kerana syarikat secara semula jadi berhati-hati dan mengelak risiko, tetapi beliau percaya budaya kerja Asia memberikan kelebihan daya saing dalam pembuatan cip.
Di Taiwan, katanya, jurutera sanggup berkejar ke kilang walaupun jam 1 pagi jika berlaku kecemasan, dan pengeluaran terus berjalan walaupun pada cuti umum.
Sebaliknya, katanya, kilang-kilang di Amerika Syarikat selalunya ditutup antara Krismas dan Tahun Baharu, menyebabkan kehilangan produktiviti yang berharga.
Melihat kepada potensi Malaysia, Chiang berkata kedudukan berkecuali negara serta kekuatan sedia ada seperti dalam substrat khusus dan komponen bateri meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk berjaya.
“Dibuat di Malaysia, oleh rakyat Malaysia – ia satu idea yang baik dan tempat yang sesuai.”
Sebagai penasihat Sidec, Chiang akan berkongsi pandangannya tentang cara mengembangkan syarikat semikonduktor tempatan, termasuk model perniagaan yang berdaya maju.