Oleh Aida Nyan
SHAH ALAM, 4 JUL: Pendidikan seksual bukan bermaksud menggalakkan hubungan seks, sebaliknya langkah penting untuk melindungi kanak-kanak daripada gangguan dan penderaan seksual, tegas aktivis remaja Ain Husniza Saiful Nizam.
Pengasas inisiatif Pocket of Pink itu berkata kefahaman masyarakat terhadap pendidikan seksualiti masih rendah hingga menyebabkan suara yang cuba mendidik sering disalah tafsir bahkan diserang tanpa belas.
[caption id="attachment_708447" align="aligncenter" width="815"] Pengasas Pocket of Pink Ain Husniza Saiful Nizam ketika rakaman program Bicara Semasa yang mengupas topik ‘Pendidikan seks kanak-kanak, wajar atau tidak’ di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 2 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sejak usia remaja, saya sudah terdedah dengan komen yang memperlekeh tubuh dan cara pemakaian saya.
"Akibatnya saya disahkan mengalami kemurungan kerana tidak faham kenapa usaha mendidik tentang keselamatan seksual ditentang sebegitu,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor yang mengupas topik ‘Pendidikan seks kanak-kanak, wajar atau tidak’.
Baru-baru ini, Ain sekali lagi menjadi mangsa kecaman dan gangguan berbaur seksual hanya kerana aktif memperjuangkan isu kesedaran seksual dan hak wanita.
Menerusi satu hantaran di platform X, beliau mendedahkan dirinya terus menerima komen lucah, meskipun berpakaian sopan ketika temu bual Media Selangor pada awal Jun lalu.
[caption id="attachment_708448" align="aligncenter" width="813"] Rakaman Bicara Semasa bersama Pengasas Pocket of Pink Ain Husniza Saiful Nizam (tengah) dan Pengarah Bersama Pendidikan Pocket of Pink Suyashaa Srii Sukendran (kanan) di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 2 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Namun bagi Ain, kejadian itu hanya mengukuhkan lagi tekadnya untuk terus menyuarakan keperluan pendidikan seksualiti yang selamat dan menyeluruh.
“Kita ajar tentang pendidikan dan keselamatan, bukan ajar perkara yang bukan-bukan. Sebab itu kami gabungkan unsur seni supaya kelihatan lebih menyeronokkan dan kartun yang digunakan nampak sesuai untuk kanak-kanak.
"Memandangkan ada yang beranggapan gambar tertentu tidak sesuai ditunjukkan kepada kanak-kanak, kami ambil inisiatif untuk sesuaikan topik pendidikan seksual," katanya.
Pendidikan seks mula dari kecil
Ain mula dikenali selepas mendedahkan jenaka rogol oleh seorang guru, hingga mencetuskan kempen nasional #MakeSchoolASaferPlace.
Sejak itu, beliau aktif memperjuangkan hak remaja, keselamatan di sekolah dan keperluan memahami tubuh serta sempadan diri melalui Pocket of Pink (POP), inisiatif diasaskan pada September lalu untuk mewujudkan ruang selamat dan memperkasa kanak-kanak melalui pendidikan seksualiti.
Menurut rakan seperjuangannya yang juga Pengarah Bersama Pendidikan POP Suyashaa Srii Sukendran, pendidikan seksual sering disalah tafsir sebagai galakan hubungan bebas sedangkan ia sebenarnya berteraskan pendidikan yang sihat dan menyeluruh.
[caption id="attachment_708446" align="aligncenter" width="797"] Pengarah Bersama Pendidikan Pocket of Pink Suyashaa Srii Sukendran ketika rakaman Bicara Semasa yang mengupas topik ‘Pendidikan seks kanak-kanak, wajar atau tidak’ di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 2 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita tidak boleh bergantung kepada media sosial sahaja. Sebab itu Pocket of Pink ditubuhkan untuk memberi pendedahan yang betul tentang baik buruk dalam isu seksualiti dan keselamatan,” jelasnya.
Suyashaa menambah, pendidikan seksualiti sepatutnya bermula sejak usia kecil dengan pendekatan sesuai tahap umur agar kanak-kanak tahu melindungi diri dan memahami sempadan sihat dalam pergaulan.
Kaedah yang digunakan POP menekankan komunikasi terbuka dengan golongan muda, disertai maklumat sahih daripada pakar bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
“Kami mahu anak-anak tahu hak mereka dan tahu ke mana boleh mengadu. Itu bukan promosi seks, itu pelindungan,” tegas Ain lagi.
Kes semakin meningkat, masyarakat perlu terbuka
Isu pendidikan seksual semakin menjadi perhatian apabila kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan meningkat, termasuk membabitkan pelaku sebaya yang turut terdedah kepada kandungan tidak sesuai secara dalam talian.
Ain berharap masyarakat terutamanya ibu bapa dan guru dapat membuka ruang perbincangan sihat, bukannya menyekat topik ini hanya kerana malu atau beranggapan ia tidak sesuai.
Terinspirasi daripada pengalaman peribadinya, Ain kini terus bersuara meskipun berdepan tekanan, kecaman dan tindakan undang-undang demi melindungi lebih ramai anak muda yang mungkin senasib dengannya.
[caption id="attachment_708450" align="aligncenter" width="739"] Ain Husniza Saiful Nizam (tengah) bersama dua rakannya Iqsa Aqilah (kiri) dan Karyn Ngiam (kanan) menunjukkan buku kartun berjudul Express to Empower ketika pameran Festival Kartun Gen Z di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2024. Foto BERNAMA[/caption]