ad
AGENSI

Gilap potensi atlet muda, Yayasan MBI sumbang dana RM110,000

3 Jul 2025, 5:29 PM
Gilap potensi atlet muda, Yayasan MBI sumbang dana RM110,000
Gilap potensi atlet muda, Yayasan MBI sumbang dana RM110,000

Oleh Muhammad Haziq Roshidi

SHAH ALAM, 3 Julai: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang sejumlah RM110,000 kepada atlet muda sukan motosikal, lawan pedang, golf dan badminton termasuk persatuan hoki negeri.

Ketua Yayasan Ahmad Azri Zainal berkata dana itu bagi meringankan beban atlet muda yang juga anak Selangor menguruskan latihan sekali gus menyokong perkembangan bakat ke peringkat lebih tinggi.

[caption id="attachment_708368" align="alignleft" width="383"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui pemberita pada Program Serahan Sumbangan Yayasan MBI kepada atlet dari pelbagai bidang sukan di Shah Alam pada 3 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

"Mereka ini semua anak-anak Selangor yang perlu kita bantu supaya bakat mereka tidak terhenti. Kerajaan Negeri dan MBI akan terus menyokong perkembangan atlet muda berpotensi.

"Dengan sokongan ini, mereka dapat melonjakkan lagi kerjaya mereka sebagai seorang atlet dan menyumbang pingat kepada negara pada masa depan," katanya ditemui pemberita selepas Program Serahan Sumbangan Yayasan MBI kepada 14 atlet cilik dan Persatuan Hoki Selangor  di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata permohonan sumbangan dana atlet masih lagi dibuka untuk tahun ini dan akan dilakukan secara berperingkat.

"Sumbangan ini bukanlah yang pertama, malah telah diberikan beberapa kali sepanjang tahun ini, antara penerima manfaat termasuklah pasukan Ragbi Selangor serta skuad e-sukan Selangor Red Giants yang bakal berangkat ke Riyadh bagi mewakili negara bulan ini," katanya.

Yayasan MBI juga membantu membangunkan bakat Qaseh Rania Khairul Najib  sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.

Pemain muda terbaik Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Qaseh Rania bakal memeterai kontrak selama tiga tahun bersama pasukan gergasi Eropah VFL Wolfsburg pada Ogos ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.