SEPANG, 3 JULAI: Prestasi pembinaan Rumah SelangorKu jenis Idaman dan Harapan berjalan lancar sekali gus membantu lebih ramai penduduk memiliki kediaman sendiri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran negeri akan meneruskan agenda pembinaan rumah mampu milik pada masa depan demi menjamin keselesaan rakyat.
“Hari ini 1,448 unit rumah Idaman siap dan kita serahkan kunci kepada pemiliknya. 13 peratus unit dikembalikan kepada negeri untuk laksana Skim Smart Sewa
“Tahun ini juga kita akan serahkan kunci projek Idaman di Bukit Jelutong di Shah Alam libatkan lebih 1,400 unit serta Air Manis (Sabak Bernam) sebanyak 1,260 unit,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan kunci Rumah Idaman Melur kepada beberapa pemilik di sini hari ini.
[caption id="attachment_708344" align="aligncenter" width="700"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cycbersouth 10, Sepang pada 3 Julai 2025.[/caption]
Projek ini merupakan pembangunan kedua daripada enam projek Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang dilaksanakan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bersama pemaju MGB.
Dibangunkan atas tanah seluas 4.88 hektar yang merangkumi dua blok pangsapuri setinggi 23 tingkat, projek melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM406 juta.
Setiap unit berharga RM250,000 dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta kelengkapan lain antaranya pendingin hawa, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen dan pemanas air.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata projek Idaman akan dibina di beberapa lagi kawasan antaranya Gombak, Klang, Kuala Selangor serta Petaling.
Pada September tahun lalu, Amirudin memaklumkan kira-kira 41,000 unit Rumah Idaman akan dibina secara berperingkat sehingga 2028 untuk membantu rakyat memiliki kediaman mampu milik dan selesa.
Setiap unit rumah dilengkapi perabot, televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari, pemanas air dan pendingin hawa yang dibina di kawasan strategik.
[caption id="attachment_708346" align="aligncenter" width="700"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) melawat rumah contoh dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cycbersouth 10, Sepang pada 3 Julai 2025. Hadir sama EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah (empat, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_708343" align="aligncenter" width="700"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) ketika hadir dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cycbersouth 10, Sepang pada 3 Julai 2025. Hadir sama EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah (tujuh, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]