ad
AGENDA

Dua maut, 16 cedera kemalangan bas persiaran, dua lori

3 Jul 2025, 8:38 AM
Dua maut, 16 cedera kemalangan bas persiaran, dua lori

JOHOR BAHRU, 3 JULAI: Dua lelaki maut manakala 16 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan dua lori di Kilometer 80.7 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah Selatan, Ayer Hitam di sini, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata mangsa maut yang juga warga Indonesia dikenali sebagai Hidirman, 43, dan Zulhadi, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.44 tengah malam, sebelum sebuah jentera 'Fire Rescue Tender' dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan tujuh anggota dari BBP Ayer Hitam serta Yong Peng digegaskan ke lokasi kejadian.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian didapati terdapat kemalangan jalan raya melibatkan bas persiaran, lori tunda dan lori tangki.

"Terdapat dua mangsa, iaitu penumpang bas yang tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian, manakala 16 yang lain cedera termasuk pemandu bas serta 28 lagi dilaporkan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shamin berkata PKO mangsa cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 3.03 pagi tadi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.