ad
AGENDA

Pelancongan sukan lonjak populariti Selangor, pusat acara bertaraf antarabangsa

1 Jul 2025, 8:30 PM
Pelancongan sukan lonjak populariti Selangor, pusat acara bertaraf antarabangsa

SEPANG, 1 JULAI: Selangor terus mempergiat usaha mempromosi negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan menerusi pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata pelancongan sukan bukan sahaja menggamit kehadiran pelancong domestik tetapi juga antarabangsa sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan

“Populariti Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan semakin meningkat. Kita banyak menganjurkan acara sukan di serata negeri. Ia bukan sekadar aktiviti sukan tetapi pada masa yang sama meneroka keindahan alam yang terdapat di setiap pelosok Selangor.

"Antara pelancongan sukan popular ialah maraton seperto PJ Half Marathon 2025, Geopark Ampang Jaya Night Run 2025 dan Geopark Gunung Nuang Ultra Run 2025.

“Ada juga permintaan bola pikel dan pelbagai lagi sukan lain yang sesuai untuk kita promosikan selari Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya pada sidang media Selangor Marathon (SELMAR) 2025 hari ini.

Menurutnya, Selangor berpotensi besar sebagai destinasi yang bukan sahaja kaya dengan tarikan pelancongan, budaya dan warisan, malah berupaya menganjurkan acara bertaraf antarabangsa yang turut mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan luar negara.

“Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor membuka peluang kepada pelbagai agensi untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha meningkatkan potensi pelancongan tempatan sebagai salah satu sumber ekonomi negara yang terbesar,” katanya

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor merekodkan kedatangan 34.5 juta pelawat sepanjang tahun lalu, menjadikannya negeri paling ramai dilawati di Malaysia untuk tahun keempat berturut-turut.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.