AGENDA

Mahkamah Persekutuan isytihar syarat notis berhimpun tidak berperlembagaan

1 Jul 2025, 4:43 PM
Mahkamah Persekutuan isytihar syarat notis berhimpun tidak berperlembagaan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman berkaitan keperluan memberikan notis untuk menganjur himpunan aman sebagai tidak berperlembagaan.

Keputusan sebulat suara itu dibacakan Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib hari ini, bersama panel tiga hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.

“Mahkamah mendapati Subseksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak sah dari segi Perlembagaan kerana melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) dan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata Tengku Maimun, lapor Berita Harian.

Keputusan itu membabitkan permohonan bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi yang mencabar Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 26 Ogos 2022, Amir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menganjurkan perhimpunan 'Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)' yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Adam didakwa gagal memaklumkan polis bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang, 14 Ogos 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Amir kemudian mencabar kesahihan akta berkenaan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya pada Ogos tahun lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.