ad
AGENDA

Padah klik pautan cabutan bertuah, pesara guru rugi RM164,000

30 Jun 2025, 9:34 PM
Padah klik pautan cabutan bertuah, pesara guru rugi RM164,000

JERTIH, 30 JUN: Seorang pesara guru mengalami kerugian kira-kira RM164,000 dipercayai selepas pernah mengklik satu pautan cabutan bertuah yang kononnya ditawarkan oleh sebuah bank tempatan melalui laman sosial Facebook sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @Abu berkata lelaki berumur 60 tahun itu menyedari wang di dalam akaun banknya berkurangan apabila menerima e-mail daripada bank tempatan menyatakan berlaku transaksi dalam akaun simpanan miliknya Khamis lepas, sebelum dia tampil membuat laporan polis pada hari sama.

“Mangsa yang terkejut kerana tidak membuat sebarang transaksi dalam tempoh tersebut terus pergi untuk mendapatkan penyata di sebuah bank di bandar Jertih, dan semakan mendapati telah berlaku 39 kali pengeluaran dari akaunnya ke akaun berbeza, yang semuanya dipercayai berpangkalan di luar negara.

“Akibatnya sebahagian besar wang di dalam akaun itu hilang dan hanya berbaki sekitar RM30,000 sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamuddin berkata pesara itu mengesyaki dia menjadi mangsa penipuan ‘phishing’ setelah dia memasukkan butiran peribadinya dalam pautan di laman sosial Facebook yang menawarkan peraduan cabutan bertuah sebelum ini.

Kes sedang disiasat mengkut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.