ad
AGENDA

Tiga individu rugi lebih RM80,000 tertipu cabutan 'tidak bertuah'

11 Jun 2025, 5:53 PM
Tiga individu rugi lebih RM80,000 tertipu cabutan 'tidak bertuah'

KUALA TERENGGANU, 11 JUN: Seorang lelaki dan dua wanita kerugian keseluruhan sebanyak RM88,141.50 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan cabutan bertuah tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada mulanya, mangsa telah melihat iklan cabutan bertuah melalui laman sosial dan menekan pautan disediakan untuk mendaftar serta mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau berkata mangsa kemudiannya mengisi maklumat diri dan butiran perbankan peribadi dengan harapan memenangi cabutan bertuah berkenaan.

"Kejadian pertama berlaku pada 31 Mei lepas melibatkan seorang guru lelaki berusia 38 tahun yang kerugian sebanyak RM63,141.50.

“Mangsa hanya menyedari kehilangan wang lima hari selepas kejadian dan selepas diperiksa, terdapat 49 transaksi wang dari akaun bank miliknya ke tujuh akaun lain yang tidak dikenali dalam masa hanya dua hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata kejadian kedua pula berlaku pada 1 Jun melibatkan seorang pengarah syarikat berusia 58 tahun yang kerugian sebanyak RM15,000 manakala mangsa ketiga ialah seorang doktor wanita berusia 50 tahun yang kehilangan wang simpanan sebanyak RM10,000 dalam kejadian pada 5 Jun.

"Kita telah berulang kali menasihati orang ramai supaya tidak menekan sebarang pautan yang mencurigakan di laman sosial.

"Jangan memberikan maklumat peribadi dan perbankan secara sembarangan kerana banyak sindiket penipuan yang hanya menunggu mangsa," katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.