ad
BERITA UTAMA

Sidang DNS buka tirai 7 Julai, letupan Putra Heights dan KSSA antara tumpuan

29 Jun 2025, 2:00 PM
Sidang DNS buka tirai 7 Julai, letupan Putra Heights dan KSSA antara tumpuan
Sidang DNS buka tirai 7 Julai, letupan Putra Heights dan KSSA antara tumpuan

SHAH ALAM, 29 JUN: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual membuka tirainya pada 7 Julai memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk insiden letupan saluran gas milik Petronas di Putra Heights, Subang pada 1 April lalu.

Speaker DNS Lau Weng San berkata isu lain yang dijangka bakal dibangkitkan wakil rakyat termasuklah pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), kejadian banjir serta inisiatif pelaburan yang memberi dampak besar kepada ekonomi.

[caption id="attachment_696817" align="aligncenter" width="723"] Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San bercakap dalam sidang media khas berhubung Selcat di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Antara yang akan menjadi fokus termasuk taman reka bentuk litar bersepadu (IC), industri semikonduktor dan aspek kebajikan rakyat yang turut mendapat perhatian beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN),” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut mengingatkan semua ADN supaya hadir serta aktif mengambil bahagian dalam perbahasan termasuk mengemukakan soalan tambahan terhadap isu yang diketengahkan.

Sidang kali ini akan berlangsung selama dua minggu di Bangunan Annex, Shah Alam dengan sesi pertama dari 7 hingga 11 Julai, diikuti minggu kedua bermula 14 hingga 18 Julai.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang menerusi laman sesawang selangortv.my serta semua platform media sosial rasmi Media Selangor termasuk Facebook, Instagram, X, TikTok dan Telegram serta saluran MYTV.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.